Rakan karib Azwan iaitu Ifa Raziah adalah antara kenalan beliau yang bertungkus lumus mengacarakan majlis sedari mula hingga ke penghujungnya. Keletah beliau bersama Azwan ternyata menimbulkan lagi suasana kemeriahan sambutan hari raya di rumah beliau.
Antara artis yang hadir ke majlis rumah terbuka Azwan Ali ini adalah seperti Datuk Yusof Haslam, Datin Noniswara, Betty Banafe, Datin Ilyka, Anding AF2, Hafiz Hamidun, rakan-rakan wartawan media cetak dan juga elektronik serta tidak ketinggalan gandingan Petang ERA No.1 di Malaysia iaitu Adi dan Reza. Apa yang menariknya di majlis ini, kesemua juadah yang disediakan dimasak sendiri oleh Azwan Ali yang dilihat semakin berseri-seri sekembalinya beliau dari pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.
Azwan sempat ditemu bual seketika dan beliau mengakui bahawa sekembalinya beliau dari pulang mengerjakan umrah baru-baru ini, rezeki yang diterima beliau tidak putus-putus dan kini beliau sedang sibuk dalam pembikinan program realiti terbaru terbitan sebuah stesen televisyen di Malaysia yang mana mampu memberikan saingan kepada program realiti terkenal, Akademi Fantasia.
Namun segalanya masih di dalam perancangan dan ianya akan dihebahkan apabila tiba masa yang sesuai kelak. Azwan turut meluahkan rasa kesyukuran di atas penerbitan buku karya nukilan beliau sendiri iaitu ‘Selamat Jalan Dunia Pondan’ yang akan menemui peminat di pasaran dengan harga RM21.90. Azwan berharap agar semua peminat akan memberikan sokongan yang tinggi terhadap karya terbaru nukilannya itu.
Azwan juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pendengar dan penyokong ERA fm yang selama ini tidak jemu-jemu memberikan sokongan yang padu terhadap beliau ketika di zaman kegemilangan dan juga di zaman kejatuhannya.

.jpg)






