Friday, May 22, 2009

Reza gigih bina reputasi

Bekas pelajar Akademi Fantasia ini kian selesa bergelar penyampai radio, pengacara.

NASIBNYA dikira cukup baik berbanding beberapa bakat baru lain yang turut dicungkil menerusi program Akademi Fantasia (AF). Biarpun tidak lagi dikenali sebagai seorang penyanyi, namun nama Reza mekar di kalangan peminat apabila dia dilamar Radio Era untuk menjadi penyampai.

Sesuai dengan dirinya yang ‘bermulut bertih’, bidang penyampaian radio bagai memberikan ruang lebih kukuh untuk jejaka ini bertapak dalam industri seni. Kini, bukan saja namanya sinonim dengan stesen radio terkenal itu, malah peluang untuknya muncul di kaca televisyen juga semakin baik.

Dia baru saja menamatkan penggambaran musim kedua Kelab Pop, diberi peluang mengendalikan rancangan Diari EXT dan terbaru, namanya dipilih bersama-sama dengan Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku, untuk mengacarakan rancangan realiti Pilih Kasih terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik Rosyam Nor.

Pada ketika Diari EXT saban minggu menemui peminat AF7, bermula 20 Mei lalu Kelab Pop kembali buat tahun kedua di saluran Astro Ria. Pada 6 Jun pula, dia dan Kak Engku bakal mengendalikan program Pentas Pilih Kasih secara langsung di TV2.

"Dik sambutan cukup baik diberikan kepada Kelab Pop, bukan saja oleh penonton malah daripada kalangan selebriti sendiri, maka rancangan berkenaan disambung lagi untuk musim ke seterusnya. Saya sendiri cukup seronok mengendalikan program ini kerana pelbagai gelagat dapat kita lihat sepanjang rakaman.

"Lebih ramai selebriti diundang memeriahkan rancangan yang dirakam sebanyak 26 episod sekali gus itu. Daripada artis veteran seperti Zami Ismail dan Mr Os, penonton juga akan dapat berhibur bersama dengan artis terkini seperti Lan Meet Uncle Hussain," ujar Reza yang turut mendedahkan lebih banyak permainan menarik diperkenalkan menerusi musim terbaru.

Menurut pengamatannya, bukan saja peserta kali ini mempunyai sikap pantang dicabar, bahkan kerana ingin muncul pemenang, ada peserta yang sanggup berbuat apa saja, termasuk ‘memecahkan set’ ketika melakukan tugasan.

Reza turut melahirkan kesyukuran apabila produser rancangan televisyen menghargai bakat pengacaraan miliknya dengan terus memberikan dia ruang untuk muncul di layar kecil berkenaan. Dari situ, dia diberikan kepercayaan mengacarakan program Diari EXT, yang lebih bersifat rancangan perdebatan.

"Jika menerusi program Kelab Pop saya diuji dengan keupayaan untuk mengawal peserta daripada ‘lupa diri’, menerusi Diari EXT pula saya harus mengawal perdebatan supaya masing-masing sempat memberikan hujah secara saksama," katanya.

Namun, kata pemuda ini, debaran sebenar muncul apabila dia diberikan tanggungjawab mengacarakan Pentas Pilih Kasih bersama Kak Engku. Reza mengaku dia agak kuat dihimpit kerisauan, apatah lagi apabila menyedari program itu sebuah rancangan yang besar. Lebih daripada itu, dia digandingkan pula dengan pengacara yang sudah sekian lama menempa nama dalam bidang berkenaan.

"Kak Engku seorang pengacara yang sudah dikenali, manakala saya pula baru hendak mencari tapak. Memanglah kami bekerja di bawah bumbung yang sama (Astro), tetapi kalau bertemu di pejabat, ia hanyalah sekadar berbual-bual dan bertegur sapa. Jadi, dari segi kerja pengacaraan, kami tidaklah begitu ‘mengenali’.

"Tetapi, ketika mengacarakan sidang akhbar program itu bersama-sama baru ini, kami boleh berasakan keserasian. Begitupun, tentulah kami memerlukan perbincangan demi perbincangan sebelum ke udara, bagi melicinkan lagi perjalanan rancangan," katanya.

Jelas Reza, dia turut mengingati kata-kata Kak Engku, agar tiada siapa yang seharusnya cuba membayangi sesiapa apabila tiba waktu mereka bersiaran secara langsung.

Sehingga saat itu tiba, Reza gembira dengan karier sebagai penyampai Era yang sudah pun diceburinya sejak hampir dua tahun lalu. Suaranya kini boleh didengar peminat setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, tatkala dia mengendalikan program Pilihan Eksekutif Era.

"Jangan pula ingat, apabila namanya eksekutif, rancangan ini untuk pekerja pejabat saja. Memanglah kita tahu, waktu rancangan itu ke udara, ramai yang sedang bekerja. Tetapi, rancangan berkenaan sebenarnya diwujudkan untuk semua pendengar. Kami amat mengalu-alukan pendengar yang membuat panggilan untuk berkongsi pengalaman. Jangan terkejut, pemandu lori pun turut membuat panggilan ya! Kami sememangnya mahukan semua orang berhibur dengan program ini," katanya.

Punya syarikat sendiri

SEJAK Mac lalu, Reza rupa-rupanya sudah memulakan operasi syarikat miliknya sendiri yang dikenali sebagai Monyet House of Talent. Selain mengendalikan dirinya sendiri, pihak pengurusan syarikat terbabit turut berhasrat membantu bakat baru mengembangkan kebolehan mereka.

Katanya, tidak kiralah dalam bidang pengacaraan, peragaan, vokal dan sebagainya, mereka cuba menolong bakat baru untuk mencari tapak lebih baik dalam industri, seterusnya mengembangkan keupayaan milik mereka.

"Saya perhatikan, beberapa bintang AF sudah pun mempunyai syarikat mereka sendiri. Jika mereka boleh melakukannya, mengapa tidak saya?"

"Tentulah, usaha mewujudkan syarikat sendiri sesuatu yang berisiko. Tetapi, saya sanggup menanggung pelbagai kemungkinan berkenaan demi memajukan diri dan karier saya. Pasti banyak sekali pengalaman berguna yang kita timba sepanjang pengurusan syarikat yang berbentuk perniagaan seperti ini. Nasib baiklah, keluarga saya juga banyak terbabit dalam urusan perniagaan. Jadi, sedikit sebanyak ia mendorong saya untuk mencuba," katanya.

Dedah Reza, beberapa artis sudah pun mendekati dirinya, bertanyakan sama ada syarikat berkenaan sudi menguruskan karier mereka. Katanya, bukan saja artis yang sudah mempunyai nama sudi diuruskannya, malah bakat baru turut dialu-alukan untuk menyertai mereka.

INFO:
Nama Penuh : Syaiful Reza Mohamed
Tarikh Lahir : 25 Ogos 1978
Zodiak : Virgo
Tinggi / Berat : 171 sentimeter / 55 kilogram
Bangsa : Melayu
Hobi : Menyanyi dan menari
Makanan / Minuman kegemaran : Stik lada hitam / Nescafe tarik atau ais
Penyanyi Kegemaran : Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir, Hazami
Pelakon Kegemaran : Afdlin Shauki, Rosyam Nor, Ellie Suriaty, Sarimah Ibrahim