Sunday, November 1, 2009

Adi, Reza sedia rancang misi baru

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Semakin matang bina kerjaya, hadapi kritikan
WAKTU untuk membuang masa sudah lama berlalu dalam diri dua personaliti Era ini. Mereka kini berusaha mencari keselesaan untuk mencipta hari mendatang yang gemilang. Ketika pertemuan, nada serius melatari perbualan Adifashla dan Reza yang sedang gigih mengukir laluan untuk kejayaan masa depan.

Akur tanggungjawab berat yang sedang menanti, Adifashla atau akrab disapa Adi dan Reza tidak membiarkan cita-cita terlalu menguasai hingga memberi tekanan untuk menempuh perjalanan hidup seharian.

Berdikit mengukir laluan ke destinasi yang diimpikan, Adi dan Reza sudah mampu menarik sedikit nafas lega. Andai dulu kehadiran mereka diiringi kontroversi dan kritikan pedih tetapi semuanya sudah beransur pergi. Tiada lagi kritikan panas sebaliknya kewujudan mereka semakin diambil serius, bahkan turut diberi tanggungjawab untuk memastikan Era kekal menjadi pilihan pendengar.
“Setiap kejadian umpama misteri hidup yang akan kita temui jawapannya apabila saat itu tiba. Syukur kerana kehadiran kami diterima membuatkan saya semakin selesa di Era,” kata Adi yang baru dua tahun berkhidmat di situ. Terlebih dulu membina karier penyampai di saluran X FM (dulu X-Fresh FM) selama empat tahun sebelum ditukarkan ke Era, Adi atau nama penuhnya, Adifashla Juraimi mengakui, tugasan sebagai penyampai kini dipermudahkan oleh kemajuan teknologi. Namun, keselesaan itu tidak sedikit pun mengurangkan cabaran yang harus mereka tempuhi.
“Minda penyampai harus pantas merencana dan mencerna maklumat yang ingin disampaikan kepada pendengar. Dalam masa 30 saat kami perlu pantas menyusun semua maklumat dengan tepat dan padat. Awal tugasan dulu, saya sentiasa terfikir mampukah saya melakukan perkara itu? Ia sebenarnya memerlukan latihan dan selepas dua tahun, saya semakin memahami kehendak pendengar Era yang sentiasa dahagakan maklumat selain hiburan,” katanya.
Diberi tanggungjawab untuk mengumpul segala informasi terkini, anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor berusia 31 tahun itu berkata, dia masih lagi mencari kepuasan sebagai penyampai radio. Kepuasan itu kata Adi, hanya akan ditemui apabila pengurusan memberikan kebebasan kepada dirinya untuk meneroka segala kelebihan dan berkongsi bersama pendengar.
“Ketika ini gaya penyampaian kami masih terikat kepada format sedia ada. Mahu atau tidak kami perlu akur namun pada masa sama kami sentiasa menggali kelebihan yang mencabar kemampuan diri. Saya berterima kasih kepada pengurusan yang memahami serta melihat kekuatan yang saya miliki. Jujurnya saya bukan penyampai popular dan glamor namun pengurusan selalu memberi kepercayaan untuk saya mengasah kemampuan serta membawanya ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Reza buka syarikat sendiri
MENITI laluan panjang sebelum meraih keselesaan sebagai penyampai radio dan pengacara, Syaiful Reza Mohamed atau Reza, 31, semakin serius merencana masa depannya. Tidak seperti tahun pertama yang sarat kekeliruan dan persoalan, Reza tidak terus membiarkan dirinya hanyut dibawa gelombang industri hiburan.
Penubuhan RezaKey Management adalah titik permulaan untuk memperkasakan jenama Reza, sekali gus memacu perjalanan karier seninya hingga meraih perhatian antarabangsa.
“Itu cita-cita saya,” kata pemuda kelahiran Sibu, Sarawak yang terlebih dulu menimba pengalaman sebagai penyanyi kelab selama enam tahun sebelum diperkenalkan menerusi program realiti, Akademi Fantasia 3.
Reza berkata, penubuhan RezaKey Management membuktikan bidang seni mampu memberi keselesaan kepada penggiatnya jika digerakkan di atas landasan lurus
.
Ia tidak dibina secara tergesa-gesa, sebaliknya kata Reza, penubuhan syarikat itu dibuat selepas dia melakukan penyelidikan serta kajian selain memahami aliran industri hiburan semasa.
Jual rekaan fesyen ke Shanghai
“SETIAP anak seni perlu punya perancangan. Hanya selepas benar-benar yakin dan bersedia, baru saya berani melaburkan wang. Itu pun dimulakan secara kecil-kecilan. Saya tidak kisah bermula dari bawah. Risikonya tidak besar, selain membantu saya untuk melihat pergerakan karier seni sendiri dengan lebih teliti.
“Pengurusan yang sistematik memudahkan saya merencana hari muka, malah memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha mengubah nasib. Saya tidak mahu selamanya berada di tempat sama,” katanya sambil mengakui perancangan awal RezaKey Management adalah melakukan usaha sama bersama pereka tempatan untuk menjual idea serta rekaan mereka kepada orang luar.
Sasaran mereka untuk menembusi pasaran di Shanghai, China kerana kebetulan Reza mempunyai saudara yang mengusahakan butik di situ.
“Saya hanya mencuba dan jika berhasil, kami akan memperluaskan jaringan pemasaran dan rekaan. Rekaan yang diangkat menjurus kepada gaya kasual dan pejabat namun dijual pada harga berpatutan. Sebagai manusia, apa yang saya peroleh ini adalah rezeki daripada Allah yang harus saya syukuri. Saya bertuah kerana hidup ini dikelilingi mereka yang sentiasa memberi semangat untuk saya terus mara dan memandang ke depan."
“Platform sebagai anak seni saya manfaatkan untuk membangunkan masa depan kerana saya bercita-cita mahu cemerlang seperti trio adik beradik, KRU,” katanya.
INFO: Reza
Nama Penuh: Syaiful Reza Mohamed
Nama Samaran: Reza Mohamed
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1978
Tempat Lahir: Hospital Low King Howe, Sibu, Sarawak
Pendidikan: Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Melawati, Sekolah Menengah Taman Seraya dan Sekolah Menengah Taman Kosas
Profesion: Penyampai radio dan pengacara
INFO: Adifashla
Nama Penuh: Adifashla Juraimi
Asal: Tanjong Karang, Selangor
Pekerjaan: Penyampai Radio ERA
Pendidikan: Sekolah Menengah Dato Harun dan Sekolah Menengah Teknik KL
Muzik kegemaran: Semua terutama pop, rock dan klasik.
Filem/Rancangan TV Kegemaran: National Geographic dan Discovery Channel