Friday, November 25, 2011

Gemilang Karpet Merah FFM24

Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER 2011: Fazura, Lisa Surihani, Scha Al-Yahya, Juliana Evans, Liyana Jasmay dan Neelofa adalah antara selebriti wanita popular yang tampil menyerlah di laluan karpet merah malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM 24), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini sebentar tadi.

Sesuai dengan tema acara yang penuh glamor dan cukup berprestij dalam memberi pengiktirafan kepada karyawan filem tanah air, masing-masing tidak mahu kalah gaya dengan persalinan gaun malam serba indah rekaan pereka fesyen tempatan.

Malah kemunculan mereka dilengkapkan lagi dengan gandingan jejaka kacak popular antaranya Syamsul Yusof yang menang besar besar menerusi filem arahannya KL Gangster, pelakon muda Kamal Adli dan Zulhuzaimy.

Karpet merah FFM 24 juga telah dikejutkan dengan kehadiran pasangan suami isteri popular, Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang sedang hangat dengan dakwaan kontroversi rumah tangga mereka. Namun kemunculan mereka pada acara berkenaan, sedikit sebanyak telah menutup segala dakwaan berkenaan.

Buat pertama kalinya, acara karpet merah FFM24 telah dikemudi oleh tiga wajah popular iaitu Reza Mohamed, Aril AF7 dan Didie Alias yang telah berpeluang menemuramah barisan selebriti popular yang melalui laluan glamor tersebut.

Persalinan Reza Mohamed dan Aril telah ditaja oleh Key Ng manakala Didie Alias tampak keemasan dengan persalinan gaun silau bewarna emas beserta rambutnya yang didandan ke atas serba keemasan sesuai denga tema acara.

FFM 24 telah buat pertama kalinya telah dianjurkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan disokong oleh Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta stesen TV Astro Prima (saluran 105).

Sunday, November 20, 2011

Reza Selesa Bergelar Penyampai Radio

Oleh: MARINA SAHABUDIN
Tarikh: November 15, 2011

Ramai yang mengenali jejaka ini kerana personalitinya yang ceria dan bersahaja. Malah perwatakannya yang menarik membuatkan ramai yang menyenangi anak kelahiran Sibu, Sarawak ini. Biarpun pada awal penglibatannya bermula dengan bidang nyanyian, siapa sangka rezekinya lebih berpihak sebagai penyampai radio.

Syaiful Reza Mohamed atau lebih dikenali sebagai, Reza Era, yang merupakan bintang kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini, mengakui penglibatannya sebagai penyampai radio, tidak pernah diduga memandangkan keinginannya bergelar penyanyi lebih tinggi.

“Selepas tamat AF musim ketiga, saya masih di bawah seliaan pilihan Astro. Saya tak sangka gurauan saya untuk menjadi penyampai radio disokong oleh pihak berkenaan. Selepas itu, barulah saya pergi menjalani uji bakat dan akhirnya terpilih bersama Era pada 2006 sehingga sekarang.

“Sepanjang lima tahun bergelar penyampai radio saya memang selesa. Lagipun ia sesuai dengan peribadi saya yang suka berkomunikasi dengan orang ramai,” kata jejaka berusia 33 tahun ini.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Reza berkata, kehidupannya dalam bidang seni bermula sejak remaja lagi.T

“Dahulu saya aktif menyanyi di kelab malam. Malah saya sering diundang menjadi pengacara majlis. Ketika itu saya sedar bakat dikurniakan perlu diperluaskan lagi. Pembabitan saya dalam AF sekali gus membuka jalan untuk saya pergi jauh dalam bidang yang diminati.

“Walaupun kini lebih dikenali sebagai penyampai radio, tetapi ia memberikan kepuasan dalam hidup saya,” kata bekas penuntut Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Aswara.


Pegang prinsip

Menurut Reza, bergelar penyampai radio bukanlah semudah yang disangka. Tugas penyampai radio bukan hanya sekadar bercakap, tetapi tanggungjawab mereka lebih besar daripada apa yang dilihat.

“Sebagai penyampai radio, kita juga perlu memikirkan idea untuk dibincangkan dalam setiap segmen yang dikendalikan. Pembentangan setiap isi kandungan yang dibawa ketika ke udara perlu ditapis pihak atasan terlebih dahulu. Kita tidak boleh bercakap sesuka hati kerana boleh menyebabkan penyampai itu ‘syok sendiri’.

“Malah jika tersalah langkah, apa yang dibicarakan boleh menjadi buah mulut pendengar dan menjejaskan imej penyampai radio serta stesen radio itu sendiri. Jadi, untuk menjadi penyampai radio yang berjaya, sifat berhati-hati dan profesional perlu ada dalam diri kami,” jelasnya.

Katanya, untuk mengingatkan diri sendiri, dia sering berpegang kepada prinsip, 'bukan senang nak jadi senang, bukan susah nak jadi susah'.

“Hidup perlu ada prinsip. Sebagai manusia biasa di muka bumi ini, kita sering alpa dan lalai membuat perhitungan. Ada kalanya bila dah senang kita lupa diri. Bila susah barulah hendak beringat. Oleh itu, kita perlu berusaha dari bawah dan kejayaan yang dimiliki perlu dihargai,” katanya yang cuba menjaga hati pendengar sebaik mungkin.


Tampil kelainan

Mengendalikan segmen Petang Era bermula jam 4 petang hingga 8 malam, merupakan salah satu cabaran bagi Reza untuk menarik golongan pendengar setia bersamanya.

Menerusi celotehnya bersama rakan seperjuangan Adi Fashla, Reza berkata, dia dan Adi perlu mencari jalan bagi memastikan segmen mereka turut menjadi pilihan pendengar.

“Waktu begini biasanya pendengar mahukan sesuatu yang lebih segar dan tidak membosankan. Jam 4 petang sehingga 8 malam adalah masa bagi mereka yang bekerja berlumba-lumba untuk pulang ke rumah. Saya yakin sekiranya apa yang diketengahkan tidak kena dengan ‘selera’ dan ‘mood’ mereka, pasti segmen kami ketinggalan.

“Bukan sahaja pendengar, saya sendiri pun sedia maklum dalam keadaan penat pulang dari bekerja, sudah pasti kita mahu mendengar sesuatu yang boleh membuatkan diri terlupa penat dan tersenyum sendiri setelah bekerja seharian,” katanya bersyukur kerana rating bagi segmen yang dikendalikan itu semakin meningkat.

Menurut Reza, biarpun kini sudah mempunyai karier tetap sebagai penyampai radio, tetapi ia tidak pernah menghalangnya untuk kembali menyanyi.