Tuesday, September 21, 2010

Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh Mazlan Photography

KUALA LUMPUR, 14 SEPT 2010: Ketika ini pastinya penyampai radio dan personaliti TV popular, Reza Mohamed sedang sakan berhari raya dan bergembira dengan rakan kampung halamannya di Sibu, Sarawak.

Manak tidaknya, sudah sekian lama dia tidak menjenguk tempat lahirnya itu, apatah lagi berpeluang meraikan lebaran bersama sanak saudara dek terikat dengan tuntutan kerja yang sudah menjadi sebahagian hidupnya.

"Ingat lagi, tahun lepas saya telah dipertanggungjawabkan berada di dalam konti radio Era.FM pada malam raya hingga lewat pagi untuk meraikan bersama-sama pendengar setia stesen radio Era.FM.

"Nasib baiklah keluarga saya ada di sini (Ampang). Jadi taklah saya berhari raya sorang-sorang. Tapi habis saja tugas di dalam konti saya terus layan tidur di rumah. Jadi suasana raya itu hanya dapat saya raikan sepenuhnya pada hari raya ke-2.

"Alhamdulillah, tahun ini saya telah berkesempatan pulang ke Sarawak sehari sebelum Syawal dan tidak sabar-sabar untuk menikmati suasana berhari raya di sini," katanya yang turut pulang bersama-sama ibu dan adiknya.

Reza berkata, antara detik yang paling dinanti-nantikan ialah untuk berkunjung ke rumah rakan taulan sama ada yang dekat mahupun jauh.

Malah seperti kebiasaannya hos game show Kata Kau ini tidak akan melepaskan peluang bertemu dua rakan artis yang sekampung dengannya iaitu Rem dan Radhi (OAG) di lokasi pertemuan kebiasaan mereka.

Tambahnya lagi, kunjungannya ke masjid selalunya akan berubah ragam kerana di situ jugalah dia akan diserbu peminat yang selama ini mengikuti perkembangannya daro corong radio mahupun kaca televisyen.

"Selalunya selepas saja solat Aidilifitri, kami akan keluar sama-sama berhari raya. Kalau terasa bosan, kami akan ke tempat lepak yang biasa kami pergi iaitu di Batu Cina. Di situlah kami akan lepak sampai lewat malam.

"Memang tempat itu cukup istimewa. Malah turut popular dikalangan penduduk setempat di sana. Lagipun bukannya selalu kami dapat berasama, inilah masanya dan ketikanya untuk mengimbau kembali zaman remaja bersama," katanya.

Jelas Reza, selera makannya turut bertambah kala tibanya Aidilfitri kerana inilah ketikanya dia dapat menikmati juadah istimewa seperti lemang serta rendang daging dan paling dinanti-nantikan tentunya pulut panggang dan sate lompat yang menjadi santapan tradisi masyarakat Sarawak.

Namun dia sedar, sebagai manusia biasa dia wajar meraikan dengan Aidilfitri dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan. Ampun dan maaf disusun Reza buat sekalian peminat dan jug pendengar setia radio Era.

Wednesday, September 1, 2010

Dari HIP, Berita Harian...

NAMA Aznil Nawawi tidak perlu diperkenalkan lagi, bukan saja dikenali di kalangan golongan dewasa, personaliti yang seorang ini turut menjadi kegilaan kanak-kanak disebabkan pelbagai program membabitkan golongan itu seperti Tom Tom Bak dan Macam Macam Aznil.

Jadi tidak hairan, setiap kali muncul di dalam sebarang majlis, Aznil pasti menjadi tumpuan. Baru-baru ini ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran ERA TV, Aznil diserbu kanak-kanak daripada Rumah Anak Yatim Pusat Jagaan Nuri, Setapak dan remaja kurang upaya dari Program Integrasi Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju yang diundang memeriahkan majlis berkenaan.

Sebaik Aznil melangkah masuk ke ruang Ballroom Hotel Renaissance, suara jeritan kedengaran bergema. Masing-masing seperti cukup teruja melihat kemunculan pengacara terkenal itu yang tiba agak lewat.

Kesempatan itu digunakan mereka untuk merakamkan gambar kenangan bersama Aznil. Oleh kerana belum sempat berbuka, Aznil meminta kanak-kanak itu bersabar dan berjanji untuk kembali menemui mereka.

Tentunya janji Aznil dituntut oleh mereka. Walaupun belum pernah bersua muka, lagak mereka bagaikan sudah terlalu mengenali personaliti itu. Begitulah kuatnya impak Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu.

Turut menjayakan majlis berbuka anjuran ERA TV ialah Mizz Nina, Hafiz, Azlan & The Typewriter, Ana Raffali, Ezad Lazim, Anum, Maulana, serta penyampai Era iaitu Ray, Haniff, Adifashla dan Reza Mohamed.

ERA TV turut mengambil kesempatan merakamkan majlis berkenaan untuk dimuatkan dalam episod akhir ERA TV. Program berkenaan akan menemui penonton 2 September ini, jam 11 malam. Selepas ini, program yang diacarakan oleh penyampai radio ERA pada musim pertama dan digantikan dengan Juliana Evans pada musim kedua akan diberhentikan buat seketika.

Penerbitnya, Nor Kamala Sari Kamarozaman berkata, sejak Juliana mengambil alih tugas pengacaraan, jumlah penonton program berkenaan semakin meningkat. Bagaimanapun ia terpaksa diberhentikan buat seketika kerana Astro kini sedang dalam perbincangan untuk merangka perancangan baru.

“Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, program ini mendapat sambutan yang baik dari penonton. Program ini diberhentikan bukan kerana tiadanya sambutan tetapi kerana musim kedua sudah pun berada di penghujungnya.

“Sama ada masih ada lagi program ini untuk musim baru masih belum lagi dapat dipastikan. Ini kerana pihak kami sedang berbincang kerana kami ada perancangan baru untuk diisi dalam slot yang ada sekarang,” katanya.

Selain majlis berbuka puasa dan ramah mesra antara artis dan anak-anak kurang upaya. Tetamu pada malam itu turut dihiburkan dengan persembahan daripada tiga penyanyi iaitu Ezad, Ana Raffali serta Azlan & The Typewriter.

Sementara itu, menjadi agenda rasmi setiap tahun ialah pra dengar lagu raya berjudul Aidilfitri Yang Mulia yang didendangkan oleh penyampai ERA FM serta bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan Adira dan Daus AF8.

Memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan, Presiden Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim turut menyerahkan sumbangan daripada anggaran jualan album Sawancara di Riuh Pagi Era - Din Beramboi Dalam Kenangan kepada balunya Suhani Che Man. Album berkenaan dilancarkan pada 9 Jun lalu.