Tuesday, October 12, 2010

Adi & Reza serang Astana Azwan Ali

Dihantar Oleh CERITERA Publish Date : 8-Oct-2010
Oleh Penulis ERA: Syakireen Othman
Sungguhpun sambutan hari raya semakin menghampiri kesudahannya, pelakon dan pengacara yang penuh dengan kontroversi iaitu Azwan Ali masih lagi bersemangat untuk mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman beliau di Ukay Perdana malam tadi. Majlis yang dimulakan sedari pukul 5 petang berakhir sehingga jam 2 pagi dihadiri oleh pelbagai rakan taulan serta kenalan artis-artis popular yang sudi menghadiri majlis di kediaman beliau.

Rakan karib Azwan iaitu Ifa Raziah adalah antara kenalan beliau yang bertungkus lumus mengacarakan majlis sedari mula hingga ke penghujungnya. Keletah beliau bersama Azwan ternyata menimbulkan lagi suasana kemeriahan sambutan hari raya di rumah beliau.

Antara artis yang hadir ke majlis rumah terbuka Azwan Ali ini adalah seperti Datuk Yusof Haslam, Datin Noniswara, Betty Banafe, Datin Ilyka, Anding AF2, Hafiz Hamidun, rakan-rakan wartawan media cetak dan juga elektronik serta tidak ketinggalan gandingan Petang ERA No.1 di Malaysia iaitu Adi dan Reza. Apa yang menariknya di majlis ini, kesemua juadah yang disediakan dimasak sendiri oleh Azwan Ali yang dilihat semakin berseri-seri sekembalinya beliau dari pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.

Azwan sempat ditemu bual seketika dan beliau mengakui bahawa sekembalinya beliau dari pulang mengerjakan umrah baru-baru ini, rezeki yang diterima beliau tidak putus-putus dan kini beliau sedang sibuk dalam pembikinan program realiti terbaru terbitan sebuah stesen televisyen di Malaysia yang mana mampu memberikan saingan kepada program realiti terkenal, Akademi Fantasia.

Namun segalanya masih di dalam perancangan dan ianya akan dihebahkan apabila tiba masa yang sesuai kelak. Azwan turut meluahkan rasa kesyukuran di atas penerbitan buku karya nukilan beliau sendiri iaitu ‘Selamat Jalan Dunia Pondan’ yang akan menemui peminat di pasaran dengan harga RM21.90. Azwan berharap agar semua peminat akan memberikan sokongan yang tinggi terhadap karya terbaru nukilannya itu.

Azwan juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pendengar dan penyokong ERA fm yang selama ini tidak jemu-jemu memberikan sokongan yang padu terhadap beliau ketika di zaman kegemilangan dan juga di zaman kejatuhannya.
Personaliti ERA fm iaitu Adi dan Reza juga sempat ditemubual dan mereka mengucapkan sekalung terima kasih kepada Azwan yang tidak pernah lupa untuk menjemput mereka saban tahun dan mereka berharap agar Azwan semakin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur serta berjumpa dengan calon yang sesuai untuk dijadikan isteri kelak. Kami di ERA fm akan sentiasa memberikan sokongan kepada Azwan Ali dan berharap agar karier beliau berjalan lancar dan berjaya di dalam industri ini. Terima Kasih kerana menjemput kami di rumah terbuka ini ya!