Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2010: Setiap kali penonton menyaksikan siaran langsung Debaran AF8 yang dihoskan Sarimah Ahmad di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam, sudah pasti akan terlihat kelibat penyampai Era FM, Reza Mohamed.
Dari situ, timbullah cerita yang kononnya kehadiran Reza di situ adalah untuk menganalisi Debaran AF. Malah, pengacara Kelab Pop ini Reza dikatakan bakal menggantikan tempat Sarimah untuk Debaran AF8 bagi minggu akan datang. Benarkah begitu?
Menjawab spekulasi ini, Reza yang ditemui berkata kehadirannya ke program Debaran AF8 bukanlah sebagai pengganti Sarimah tetapi dia sebenarnya sedang menunggu giliran untuk mengacarakan program showcase bintang AF yang dirakam sebaik saja tamatnya lintas langsung Debaran AF.
Apa yang pasti, Reza yang menjadi hos program ini sudah pun memulakan sesi rakaman bermula Ahad lalu (4 April 2010).
"Setakat ini, saya hanya akan mengendalikan 6 episod untuk showcase AF ini. Saya juga difahamkan, show ini akan ditayangkan di Astro Ria bermula Jun depan," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut tentang penglibatannya sebagai hos showcase Af itu, Reza berkata, setiap minggu dia akan cuba menampilkan kelainan. Bagaimanapun, kelainan yang bakal ditampilkan itu pula nanti ia akam berkait-rapat dengan bintang-bintang AF yang dijemput untuk mengadakan persembahan.
"Setiap episod saya akan cuba menghayati gaya dan personaliti bintang AF yang pelbagai. Selepas itu, barulah saya akan cuba menampilkan corak pengacaraan tersendiri. Seperti episod Stacy, saya telah memakai kasut ala-ala Stacy untuk menjiwai dirinya.
"Untuk skrip pula, saya selalu akan sampaikan apa yang telah pada skrip yang diberi. Kemudian, barulah saya cuba menbuat improvisasi mengikut kesesuaian, mood atau suasana pada masa itu" katanya.
Sementara itu, kepada peminat setiap juara AF3, Asmawi Ani dan Dafi, anda dijemput menghadiri rakaman showcase mereka di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Ahad ini (25 April 2010) pada jam 9 malam ini. Masuk adalah percuma!