Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 14 SEPT 2010: Ketika ini pastinya penyampai radio dan personaliti TV popular, Reza Mohamed sedang sakan berhari raya dan bergembira dengan rakan kampung halamannya di Sibu, Sarawak.
Manak tidaknya, sudah sekian lama dia tidak menjenguk tempat lahirnya itu, apatah lagi berpeluang meraikan lebaran bersama sanak saudara dek terikat dengan tuntutan kerja yang sudah menjadi sebahagian hidupnya.
"Ingat lagi, tahun lepas saya telah dipertanggungjawabkan berada di dalam konti radio Era.FM pada malam raya hingga lewat pagi untuk meraikan bersama-sama pendengar setia stesen radio Era.FM.
"Nasib baiklah keluarga saya ada di sini (Ampang). Jadi taklah saya berhari raya sorang-sorang. Tapi habis saja tugas di dalam konti saya terus layan tidur di rumah. Jadi suasana raya itu hanya dapat saya raikan sepenuhnya pada hari raya ke-2.
"Alhamdulillah, tahun ini saya telah berkesempatan pulang ke Sarawak sehari sebelum Syawal dan tidak sabar-sabar untuk menikmati suasana berhari raya di sini," katanya yang turut pulang bersama-sama ibu dan adiknya.
Reza berkata, antara detik yang paling dinanti-nantikan ialah untuk berkunjung ke rumah rakan taulan sama ada yang dekat mahupun jauh.
Malah seperti kebiasaannya hos game show Kata Kau ini tidak akan melepaskan peluang bertemu dua rakan artis yang sekampung dengannya iaitu Rem dan Radhi (OAG) di lokasi pertemuan kebiasaan mereka.
Tambahnya lagi, kunjungannya ke masjid selalunya akan berubah ragam kerana di situ jugalah dia akan diserbu peminat yang selama ini mengikuti perkembangannya daro corong radio mahupun kaca televisyen.
"Selalunya selepas saja solat Aidilifitri, kami akan keluar sama-sama berhari raya. Kalau terasa bosan, kami akan ke tempat lepak yang biasa kami pergi iaitu di Batu Cina. Di situlah kami akan lepak sampai lewat malam.
"Memang tempat itu cukup istimewa. Malah turut popular dikalangan penduduk setempat di sana. Lagipun bukannya selalu kami dapat berasama, inilah masanya dan ketikanya untuk mengimbau kembali zaman remaja bersama," katanya.
Jelas Reza, selera makannya turut bertambah kala tibanya Aidilfitri kerana inilah ketikanya dia dapat menikmati juadah istimewa seperti lemang serta rendang daging dan paling dinanti-nantikan tentunya pulut panggang dan sate lompat yang menjadi santapan tradisi masyarakat Sarawak.
Namun dia sedar, sebagai manusia biasa dia wajar meraikan dengan Aidilfitri dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan. Ampun dan maaf disusun Reza buat sekalian peminat dan jug pendengar setia radio Era.