Sunday, August 30, 2009

Anak muda semangat patriotik

dipetik B-POP, 30 Aug 2009
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Danny (kiri), Reza dan Sushmeeta tidak sabar menyambut merdeka.



Insaf terkenang keperitan, pengorbanan pejuang bebaskan negara dari penjajah
HANYA warna kulit membezakan mereka, tetapi antara mereka tiada jurang pemisah. Personaliti TV Astro, Syaiful Reza Mohd, Danny Koo Kar Lim dan Sushmeetha Morugan menyambut baik seruan kerajaan dengan semangat 1Malaysia menjelang sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-52 negara ini, esok.
Walaupun tidak dilahirkan ketika zaman penjajahan dan juga tidak pernah melihat kesengsaraan orang dulu memperjuangkan Tanah Melayu, mereka tetap merasainya. Sebagai anak Malaysia, mereka tidak sanggup melihat negara terus dijajah bangsa asing lagi. Apa yang pasti, ketulusan, keikhlasan dan kejujuran orang dulu memperjuangkan negara tidak sama dengan generasi hari ini. Umpamanya lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Pengacara dan penyampai radio, Syaiful Reza atau Reza berkata dia menyambut Hari Kemerdekaan dengan perasaan berkobar-kobar, apatah lagi jika perlu bertugas di konti radio Era.

“Semangat patriotik masih menebal dalam diri saya. Jika bertugas ketika sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan, saya pasti akan menyediakan maklumat penting berhubung sejarah negara, pahlawan Melayu dan satria negara yang terkorban. Sejak kecil, saya memang berminat menonton drama atau filem berunsur patriotik. Contohnya filem Bukit Kepong, biarpun berpuluh-puluh kali menontonnya, saya tetap menitiskan air mata. Saya sebak melihat semangat perjuangan orang Melayu dulu, mereka bersatu hati hingga ke titisan darah terakhir.
“Saya juga tidak jemu melihat filem lama seperti Sarjan Hassan, betapa kuatnya semangat rang Melayu dulu, saya kagum ketabahan mereka. Begitu juga filem terbaru, 1957 - Hati Malaya, Paloh dan Leftenan Adnan, ia mampu memupuk semangat cintakan tanah air dalam jiwa generasi hari ini.
“Dulu masa kecil, saya dan teman-teman satu perumahan di Taman Melawati, Selangor akan membuat bendera dan mengikatnya di batang penyapu atau pengelap lantai. Menjelang detik kemerdekaan, kami akan mengibarkan jalur gemilang tandanya kami juga merdeka. Ketika zaman remaja, saya menyertai Kumpulan Budaya Negara (KBN) sebagai penari. Bulan kemerdekaan pada Ogos adalah bulan yang paling sibuk buat penari kebudayaan.
“Jika sebelum menyertai KBN, saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang meraikan kemerdekaan di Dataran Merdeka, tetapi berlainan pula bila bekerja. Setiap tahun, saya akan menghiburkan pengunjung Dataran Merdeka dengan pelbagai persembahan tari,” katanya yang akan muncul dengan Kelab Pop Merdeka pada malam esok (Isnin), jam 9.30 malam bersama artis Akademi Fantasia.
Danny fahami budaya Melayu
Danny Koo Kar Lim atau lebih mesra dengan panggilan Danny Boy akui dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Terengganu membuatkannya lebih selesa bergaul dengan pelbagai bangsa terutama orang Melayu.

“Biarpun bersekolah Cina tetapi kawan-kawan sekitar rumah adalah orang Melayu. Saya boleh bercakap bahasa Melayu dengan fasih kerana bergaul dengan mereka setiap hari. Saya paling tak lupa apabila detik mahu menyambut kemerdekaan. Kami akan beramai-ramai ke Stadium Negara waktu malam untuk meraikan malam 31 Ogos.
“Saya juga aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah dan sudah menjadi kemestian, saya dan kumpulan pengakap akan mewakili sekolah dan berkawad pada hari kemerdekaan,” kata pengacara Motosikal Balik Kampung yang disiarkan di Astro AEC (301), setiap Ahad, jam 8.30 malam mulai 6 September ini. Danny berkata dia sinonim dengan kehidupannya sebagai budak kampung dan turut mengacarakan rancangan Motosikal Balik Kampung yang dulu dikenali Motosikal 2.0 ver yang dikendalikan oleh personaliti lain.
“Saya berdepan dengan seribu satu cabaran ketika mengendalikan rancangan Motosikal Balik Kampung. Bayangkan saya memandu motosikal sendirian dari satu ke satu tempat untuk mencari keunikan sesebuah kawasan. Tidur, makan, mandi dan diri saya tidak terurus ketika penggambaran rancangan ini bermula.
“Sungguhpun berdepan cabaran, saya tetap seronok apabila masuk kawasan pedalaman. Saya panjat pokok, tangkap kelawar, makan dan tinggal dengan orang asli. Saya turut bersama melakukan kerja yang mereka lakukan. Ia adalah pengalaman yang tidak boleh dijual beli,” katanya yang boleh berkomunikasi dalam enam bahasa - Mandarin, Melayu, Hokkien, Hainan, Kantonis dan Inggeris.
Sushmeeta terkenang sambutan rai merdeka
Pengacara program Vizhuthugal di Astro Vaanavil (saluran 201), Sushmeetha Morugan berkata, sudah menjadi satu kemestian, ibu bapanya akan membawa anak-anak ke padang untuk meraikan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan ketika kecilnya.
Dengan ketawa kecil, Sushmeetha akui: “Ibu bapa saya tak kisah bawa anak beramai-ramai naik dan turun bas untuk ke tempat menyambut kemerdekaan. Dulu kita orang susah tetapi semangat perpaduan orang dulu, tiada tolok bandingan. Ada yang sanggup berjalan kaki demi tidak melepaskan peluang meraikan kemerdekaan.
“Bagaimanapun, hari ini semuanya sudah berubah. Saya rindukan suasana dulu, saya lihat padang Majlis Daerah Tapah penuh sesak dengan manusia. Dari orang tua sehinggalah kanak-kanak, mereka meraikan kemerdekaan dengan keluarga. Ketika kecil, saya memang tak tahu erti kemerdekaan tetapi apabila ibu bapa sering membawa saya keluar, melihat kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan, lama kelamaan saya faham apa erti merdeka.”
Sushmeetha berkata, kepetahannya berkomunikasi membuatkannya memilih untuk bergelar pengacara Vizhuthugal, rancangan bual bicara seperti Selamat Pagi Malaysia atau Malaysia Hari Ini.
“Dulu saya hanya sempat bergelar wartawan di akhbar New Straits Times selama dua tahun, sebelum berhenti dan menyertai Astro. Saya seorang suka bercakap dan pengalaman bekerja sebagai wartawan saya titipkan untuk program saya dalam menemubual tetamu. Saya gembira rancangan ini membawa saya mendekati masyarakat atasan hingga golongan susah. Ia bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.30 pagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment