Monday, December 20, 2010

Reza bakal pengacara AF9?




Oleh Zaidi Mohamad 2010/12/19

Bersyukur rezeki di bidang pengacaraan semakin murah

TAHUN lalu, jejak kelahiran Sibu, Sarawak ini bergandingan dengan Raja Azura mengendalikan program kebanggaan Rosyam Nor, Pilih Kasih. Tapi untuk Pilih Kasih musim kedua bersiaran 11 Disember lalu, Reza bersendirian tanpa ditemani sesiapapun berbanding musim lalu dia mengemudi program itu bersama Raja Azura.

Jangan ditanya sebab ketiadaan pengacara stesen radio nombor satu itu dalam program Pilih Kasih tahun ini kerana Reza tidak ada jawapannya, lalu meminta ditanya saja kepada pihak produksi. Apa yang lebih utama buat pemilik bernama penuh Syaiful Reza Mohamed itu ialah untuk menggalas tanggung jawab mengacarakan Pilih Kasih sebaik mungkin.

“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana masih dikekalkan untuk meneruskan mandat sebagai pengacara Pilih Kasih 2. Bagi saya tak kisahlah mengacara bersendirian atau berdua kerana masing-masing memberikan keghairahan tersendiri.

“Tapi kalau mengacara secara solo mungkin lebih banyak kerja berbanding bergandingan. Keterujaan saya juga lebih untuk musim kedua ini. Alhamdulillah rating musim pertama juga membanggakan dan harapnya yang kedua ini juga akan memberi dimensi baru untuk arena seni kita,” kata Reza yang pernah mengacarakan program Katakau dan Kelab Pop.

Selain bergelar pengacara dan bekerja di konti radio, Reza memberitahu dunia nyanyian masih tetap di hati. Sekalipun tidak berpeluang atau bermimpi menghasilkan sebuah album, si petah berbicara ini masih memenuhi undangan membuat persembahan bersama Astro dan syarikat tertentu.

Dalam perkembangan lain, nama Reza turut dikatakan antara calon yang bakal mengemudi Akademi Fantasia musim kesembilan. Bagaimanapun Reza, enggan memberi komen lanjut terhadap perkara yang belum pasti. Cuma yang boleh disahkan Reza ialah mengenai program Katakau yang bakal disambung pada tahun depan. “Mengenai AF9 itu saya ada mendengar ura-ura saja. Tapi saya sendiri belum pasti kesahihannya. Kalau betul dan ada rezeki, saya bersyukur. Lagipun, itu juga tanda saya memberi sokongan kepada program yang pernah mencungkil bakat saya,” kata Reza yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim ketiga.

Lima tahun membabitkan diri dalam dunia penyiaran di stesen radio ERA, lelaki berusia 32 tahun ini terus tegar meneruskan survivalnya. Sekalipun datang pelbagai dugaan dan kontroversi yang memalit namanya, Reza hanya mampu bersabar kerana semua itu dianggap lumrah yang perlu ditelan.

Malah hingga kini orientasi dirinya juga masih menjadi tanda tanya. Kata Reza, perkara sebegitu hanya subjektif dan tidak boleh dinilai dengan mata kasar. Sebagai manusia biasa, Reza hanya mampu menjawab persoalan yang diaju.

“Pelbagai dugaan yang saya sudah lalui. Saya hanya mampu membiarkan saja tanpa langsung menjadi kudis. Saya lebih tahu siapa diri saya. Bunyi macam klise, tapi orang di luar boleh terus menghakimi saya. Cuma saya tak nafikan persoalan orientasi diri saya itu sering mengundang teka-teki.

“Apabila orang terus bertanya mengenai perihal itu, saya akan beri jawapan yang sama. Terimalah saya seadanya. Pada satu peringkat, ia jadi menyakitkan hati. Tapi tak apalah, saya tak boleh halang orang daripada terus berkata-kata,” katanya yang mengendalikan segmen Petang ERA bersama Adi Fashla.

Profil Nama penuh: Syaiful Reza Mohamed
Nama komersial: Reza Mohamed
Tarikh lahir: 25 Ogos
Tempat lahir: Lau King Howe Hospital, Sibu, Sarawak
Zodiak: Virgo

Wednesday, December 15, 2010

PILIH KASIH-MINGGU – PENGENALAN

PILIH KASIH telah memilih Eirma Fatima dan Aziz M Osman sebagai tenaga pengajar untuk PILIH KASIH musim kedua ini. Kredibiliti Eirma Fatima sudah semestinya untuk menerajui persembahan teater manakala Aziz M Osman akan menjadi pengarah untuk drama pendek.


PILIH KASIH juga turut menjemput Fatimah Abu Bakar dan Dt. Dr. Ibrahim dari Aura Seri untuk minggu orentasi. Tujuannya untuk memastikan peserta PILIH KASIH musim kedua ini mempunyai sedikit pemahaman dan juga keyakinan untuk menghadapi sesi seterusnya.


Untuk musim kedua ini, PILIH KASIH telah menukar format iaitu hanya 16 peserta yang dipilih berbanding musim pertama yang memilih 20 peserta. Perubahan ini adalah untuk memberi lebih tumpuan kepada peserta agar bakat mereka dapat dinilai dengan lebih mendalam lagi. Mereka akan mula melaporkan diri pada 27 November 2010 ini dan majlis sidang media untuk memperkenalkan peserta-peserta musim kedua ini akan diadakan pada 2 Disember 2010 di restoran Sri Melayu Jalan Conlay..


Untuk tahun ini, PILIH KASIH masih mengekalkan Reza Mohamed (Radio ERA) sebagai pengacara untuk siaran langsung, tetapi Reza akan bersendirian berbeza dengan musim pertama yang mana beliau bergandingan dengan Raja Azura. Manakala jurnal PILIH KASIH akan dikendalikan oleh Eisya (Selamat Pagi Malaysia RTM) menggantikan Pansha Rahim yang kini lebih member tumpuan pada bidang lakonan.. Tahun ini PILIH KASIH mengekalkan Dr.Abu Hassan (Universiti Malaya) sebagai juri tetap bergandingan dengan Fauziah Nawi.


PILIH KASIH akan bersiaran secara langsung bermula pada 11 Disember 2010 (Sabtu-8.30malam) di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, (RTM) Negeri Sembilan hingga 19 Februari 2011 dan boleh diikuti siarannya di TV2. 12 peserta adalah pilihan juri manakali 4 lagi adalah melalui undian SMS.

Nama peserta undian SMS:


Perempuan:
Nurul Hidayah Bt Ishak
Norsita Bt Ismail
Selva Kumary Suppiah
Sharifah Zakiah Bt Syed Hashim Al Khred

Lelaki:
Mohd Raffie Bin Karama
Mohamad Ghazali Bin Jeman
Muhammad Syafiq Bin Shamsuddin
Mohd Syafiq Shamim Bin Abdul Razak
Hanya 4 orang sahaja yang akan terpilih bergantung pada undian penonton.