Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
PADA awal kemunculan Akademi Fantasia (AF) nyata menjadi platform mereka dan hari ini Adifashla Juraimi atau Adi, 33, dan Syaiful Reza Mohamed atau Reza, 33, sudah berjaya membina nama sebagai penyampai radio.
Bukan calang-calang stesen, kedua-duanya mendapat ruang berkhidmat dengan Era FM. Digandingkan bertugas berdua, Adi dan Reza ke udara dari jam 4 petang hingga jam 8 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Gabungan yang serasi, mereka dilihat cukup selesa menggalas tugas di konti radio. Menyiarkan lagu, melayan kerenah pendengar sudah menjadi rutin harian.
Bagaimana pula dengan cita-cita mereka yang mahu bergelar penyanyi dulu? Apakah sudah dilupakan?
Bersua mereka baru-baru ini di Restoran Bora Ombak, Ampang, nyata mereka memiliki alasan tersendiri. Apapun mereka sangat bersyukur dengan apa dimiliki sekarang sehingga terlupa impian menjadi penyanyi.
Menurut Adi, dia sudah berpuas hati dengan perjalanan karier yang lancar di konti radio. Ujarnya, tiada apa yang perlu dikejar lagi selain berusaha memberikan komitmen terbaik menyokong segala program Era FM.
“Saya memang sudah tidak lagi memikirkan impian menjadi penyanyi. Bagi saya, karier yang diceburi sekarang ini pun sudah cukup mencabar. Biarpun bukan penyanyi, kami masih mampu menghiburkan masyarakat.
“Lagi pun, kami masih ada ruang untuk melepaskan gian menyanyi dengan membuat lagu merapu sendiri. Alhamdulillah, dapat maklum balas baik,” katanya.
Menurut Adi, menyanyi dalam program Gempak Santai Astro juga sudah memadai.
Katanya, dia harus menghormati karier sebagai penyampai radio yang diceburi kini kerana itulah pilihan utamanya.
Bagi Reza pula, bukannya dia tidak teringin mencipta nama sebagai penyanyi, tetapi sukar untuk bergerak lebih jauh. Ini kerana tugas sebagai penyampai radio banyak komitmennya.
“Saya dan Adi berbeza situasi kalau dibandingkan dengan Dina yang juga penyampai Era FM. Dalam soal Dina, dia lebih dulu rakam album dan kemudian diserap ke radio. Kami pula habis saja AF terus jadi penyampai.
“Justeru, kalau saya dan Adi jadi penyanyi, mestilah Era FM saja yang siarkan lagu kami! Nanti orang cakap berat sebelah pula,” ujar Reza lagi.
Apapun, mereka gembira kerana Era FM terus berjaya dan mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pendengar setia mereka dan pembaca Harian Metro.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment