Tuesday, March 20, 2012

Propaganza Yang Hangat Dan Menyengat

KUALA LUMPUR, 14 MAC 2012: Bagi menyemarakan lagi industri hiburan tanah air, stesen TV Astro menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) bakal menayangkan program hiburan berbentuk majalah yang dikenali sebagai Propaganza bermula 18 Mac ini. Produksi terbitan bersama Astro Ria dan KRU TV itu bakal ditayangkan selama sejam iaitu pada setiap Ahad, bermula jam 12 tengah hari dengan menampilkan dua selebriti popular Reza Mohamed dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara. Bukan sekadar rancangan hiburan biasa, Propaganza berteraskan moto 'hangat, mengengat' menampilkan lima segmen utama yang terdiri daripada Buzz, Malatop, Wayang Kita, Menyengat dan Mulut Murai. Penerbit Eksekutif Propaganza, Russell Rodrigues berkata, isu yang diutarakan di dalam Propaganza merangkumi berita dan gosip tentang apa yang berlaku di dalam industri hiburan pada setiap hari dan minggu. "Terdapat beberapa segmen sampingan yang ada di dalam program ini antaranya Ekslusif yang menampilkan majlis perkahwinan selebriti dan pengumuman istimewa, manakala Klik Kantoi merupakan rakaman video khas daripada peminat berkenaan artis kesayangan mereka," katanya. Russell berkata, portal murai.com.my turut diberi peluang keemasan untuk berganding tenaga bagi merealisasikan dua segmen istimewa iaitu Mulut Murai dan Stailista. Segmen Mulut Murai menampilkan Editor Hiburan murai.com.my, Ajieb yang akan menyelongkar serta mendapatkan laporan khas berkenaan dunia selebriti tanah air dari sudut sensasi, tersendiri lagi terkini. Berbeza pula dengan segmen Stailista di mana Editor Fesyen murai.com.my, Ayie Ali akan mengkritik fesyen selebriti popular di acara hiburan dan anugerah. Jadi sama ada apa yang disarungkan mereka itu Stailista atau Opss...? Sama-sama kita saksikan. Propaganza diterajui dua Penerbit Eksekutif, Basirun mewakili Astro dan Russell Rodrigues dari KRU TV. Ianya bakal ditayangkan bermula 18 Mac ini (Ahad), jam 12 tengah hari.

1 comment: