Wednesday, December 16, 2009

Konsert URTV sempena Piala Monsun diserbu

Dipetik dari Utusan Malaysia, 3 Dis 2009

KUALA TERENGGANU 2 Dis. - Kira-kira 1,000 penduduk daerah ini menyerbu Konsert URTV sempena Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Dataran Shahbandar semalam.

Walaupun hujan lebat, orang ramai berkumpul seawal 8.30 malam bagi menyaksikan konsert anjuran majalah hiburan, URTV terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Karya Sdn. Bhd yang bermula kira-kira pukul 9.30 malam.

Turut hadir Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Terengganu, Azhar Omar.
Konsert itu dimulakan dengan persembahan daripada Star Stompers yang mempersembahkan muzik dihasilkan dengan alat-alat perkakasan rumah.

Persembahan kemudian diteruskan dengan nyanyian dua lagu daripada Tomok dan Elyana.
Turut mengadakan persembahan ialah Dafi, Kristal, Ramlah Ram, Dayang Nurfaizah, Jay Jay dan Aizat.

Konsert tersebut dihoskan oleh dua pengacara sensasi, Farah Fauzana dan Reza AF3.
Konsert itu diadakan bagi memeriahkan Piala Monsun yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Selain konsert tersebut, URTV juga akan menganjurkan konsert mini setiap hari sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Antara artis dijangka menjayakan konsert mini ialah Bob, Wana, Ameng Spring, Azlan & The Typewriter, Aiya, Hafiz Hamidun dan Suhaimi Hijjaz.

No comments:

Post a Comment