Thursday, May 13, 2010

Kata Kau hargai sokongan pelanggan Astro

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED


SALAH satu segmen yang ditampilkan dalam Kata Kau yang akan mula ditayangkan pada 19 Jun ini.

ASTRO tidak pernah kekeringan idea dalam menyajikan santapan buat pelanggan mereka. Tidak mahu statik dalam mana-mana penerbitan, Astro mahu terus tampil dengan rancangan hiburan yang mampu memberikan kepuasan maksimum buat penonton.

Setiap rancangan mempunyai pengikut tersendiri dan mampu bertahan kerana penerimaan para penonton.

Mengambil contoh program Kelab Pop misalnya, telah membawa satu pendekatan baru dalam definisi program hiburan bercorak permainan dalam abad ini.

Selama tiga musim bersiaran, Kelab Pop berjaya mencipta kelompok peminat tersendiri dengan gaya serta konsep permainan berteraskan hiburan.

Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Kelab Pop akhirnya terpaksa 'disemadikan' dan mengucapkan selamat tinggal apabila kini program tersebut digantikan dengan sebuah lagi rancangan yang mempunyai konsep yang serupa.

Konsep Kelab Pop sebelum ini menampilkan dua kumpulan yang masing-masing dianggotai oleh artis-artis tempatan.

Tetapi, program baru Kata Kau buat pertama kalinya memberi peluang kepada pelanggan Astro untuk melibatkan diri.

Ketua Unit Hiburan Astro Entertainment, Bob Azrai memberitahu keputusan untuk melibatkan pelanggan sebagai menghargai sokongan mereka selama ini.

"Ia juga salah satu pendekatan baru yang kami lakukan untuk melahirkan program yang berbeza daripada sebelum ini.

"Selain berhibur, ini adalah peluang terbaik untuk mereka beramah mesra dengan artis kesayangan mereka dalam satu program," terangnya tentang program 26 episod itu.

Bob Azrai atau nama sebenarnya, Azrai Kamaruddin ditemui sejurus selepas berakhirnya rakaman program Kata Kau di Studio 2, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Kata Kau, Nor Haina Itam serta dua hosnya iaitu Reza Mohamed dan Scha Alyahya.

Bob menjelaskan pelanggan Astro hanya perlu menghantar lima calon artis pilihan yang mereka gemari untuk digandingkan dalam program tersebut.

"Daripada senarai itu, kami akan meneliti dan menilai pilihan mereka itu untuk dibawa ke pentas.

"Walau bagaimana pun, bukan semua artis yang dapat ditampilkan kerana kami juga perlu fikirkan tentang jadual serta komitmen artis itu sendiri," ujarnya yang memberitahu nama Datuk Siti Nurhaliza masih lagi menjadi pilihan utama sebahagian daripada pelanggan Astro untuk digandingkan.

Sementara itu, ketika menjawab persoalan tentang penggunaan Kata Kau sebagai judul program, Azlin menjelaskan istilah itu mempunyai konotasi yang cukup menarik.

"Sesuai dengan program yang berkonsepkan hiburan, maka kami dapat melihat kesannya juga dapat terhasil dengan penggunaan tajuk itu sendiri.

"Ditambah pula dengan gandingan mantap Reza dan Scha, kami percaya Kata Kau akan menjadi popular seperti mana Kelab Pop sebelum ini," jelas Azlin.

Nor Haina pula tidak menafikan kesukaran yang harus ditempuhi oleh produksinya khususnya dalam memilih permainan yang betul-betul sesuai untuk Kata Kau.

Apa yang penting, adalah untuk menjadikan Kata Kau sebagai permainan yang cukup menghiburkan hanya jika artis dan pelanggan Astro yang terlibat boleh bersikap sedikit terbuka.

"Sewaktu perbincangan hampir 25 jenis permainan yang dicadangkan dan selepas meneliti kesesuaiannya, akhirnya 10 sahaja yang dipilih dan dipersetujui.

"Bagi saya, setakat ini Kata Kau berjalan dengan lancar dan sempurna kerana pengacaranya memberikan komitmen yang cukup bagus.

"Mereka begitu profesional dan berjaya melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik. Malah, mereka juga pantas mencipta keserasian," kata Nor Haina yang sebelum ini pernah menerbitkan rancangan popular seperti Macam-Macam Aznil, Anita Anak Wayang dan Akademi Fantasia.

10 permainan yang telah disusun khusus untuk Kata Kau adalah Ringtone Rentong, Bapak Kapak, Siapa Pulak Ni...?, Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan.

Antara artis-artis tempatan yang terlibat dalam rakaman Kata Kau termasuklah Saida, Sairah, Meet Uncle Hussain, Liyana Jasmay, Diddy Hirdy, Riz, Lufya, Marsha, Anding, Dafi, Edleen, Sherry Ibrahim dan ramai lagi.

Kata Kau akan ditayangkan bermula 19 Jun ini menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) setiap Sabtu pukul 10 malam.

Wednesday, May 12, 2010

Kata Kau, hiburan baru Astro!

Oleh JESSABELL SOO

BAGI mereka yang kurang rapat dengan dunia hiburan, perkataan 'kata kau' mungkin jarang didengari. Namun, pihak Astro yang menyedari populariti perkataan itu di kalangan pengamal media telah mengambil peluang untuk menerbitkan sebuah program berbentuk game show dengan judul Kata Kau.

Menampilkan selebriti-selebriti tempatan, Kata Kau yang dihoskan oleh Reza Mohamed dan Scha Alyahya merangkumi 10 permainan menarik. Namun, pada setiap episod selama setengah jam, hanya lima permainan akan dimainkan.

"Program ini menggunakan format baru yang dikembang dan dicipta oleh pasukan kami sendiri. Memang mencabar untuk memikirkan permainan baru dan kami telah memilih 10 yang terbaik daripada 25 permainan yang difikirkan. Asas kesemua permainan adalah berlandaskan muzik," kata penerbit program, Nor Haina Itam.


PROGRAM Kata Kau menampilkan pelbagai acara yang menarik.

Menariknya program 26 episod itu turut melibatkan pelanggan Astro yang akan turun bertanding bersama idola masing-masing. Dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga orang setiap kumpulan, antara mereka yang terlibat termasuk Pop Shuvit, Meet Uncle Hussain, Mawi, Norman Hakim, Memey, Julia Ziegler, Ainul Aishah dan Marsha Milan Londoh.

"Kami mahu memberi peluang kepada pelanggan kami untuk menyertai program bersama idola mereka. Setiap pelanggan yang dipilih akan menyenaraikan idola masing-masing dan kami akan memilih dari situ," jelas Ketua Unit Hiburan Astro Entertainment, Bob Azrai.

Memaparkan permainan seperti Ringtone Rentong, Bapak Kapak, Siapa Pulak Ni...?, Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat?, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan, Scha memberitahu dia banyak belajar daripada Reza.

"Nasib baik saya cepat serasi dengan Reza. Pada mulanya saya berdepan dengan masalah kerana tidak pernah mengacarakan program game show."



GANDINGAN Reza dan Scha menggamatkan program Kata Kau.



"Selain daripada menonton Kelab Pop, saya juga banyak belajar daripada Reza. Saya perlu menjadi spontan dan cepat memberikan respons. Itulah cabarannya," ujar Scha.

Bagi Reza yang sudah mengacarakan program Kelab Pop selama tiga musim, dia perlu 'bersaing' dengan Scha kerana jika kumpulan yang diwakili mereka kalah, hos juga akan didenda bersama.

"Kita bersaing bukannya membenci. Ini kerana kami takut akan didenda dengan teruk. Ada denda yang melibatkan aiskrim, sos cili, tepung, bulu ayam dan bedak sejuk. Setakat ini, Scha lebih banyak kalah dan pernah didenda sehingga jatuh," kata Reza.

Kata Kau bakal ditayangkan pada setiap Sabtu bermula 19 Jun ini, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).






Wednesday, May 5, 2010

Reza vs Scha, Dalam Kata Kau



KL, 4 MEI 2010: Sudah lama rasanya Murai Batu tak menonton program 'game show' Kelab Pop. Alih-alih, angin betiup kencang yang Murai Batu dengar, program itu akan digantikan dengan sebuah program baru.

Jadi tak merasalah Murai Batu nak tonton Kelab Pop lagi. Sebab secara jujur, Murai Batu memang suka sangat lawak spontan dan penguasaan pentas hosnya Reza Mohamed. Tak jemu Murai Batu tiap kali menontonnya. Itulah namanya seorang pengantara yang berwibawa.

Bercakap mengenai game show terbaru ini, nak tergelak juga Murai Batu apabila program berkenaan menggunakan sebutan atau slanga yang selalu teman-teman Murai Batu gunakan bila berborak santai, lebih-lebih lagi bila rasa tak puas hati. Jadi akan terkeluarlah perkataan 'kata kau'.

Ermm...agak menarik juga tajuknya.

Lebih menarik lagi apabila pengacara utama Kata Kau iaitu Reza buat pertama kalinya telah digandingkan bersama pelakon dan pengacara semakin meningkat naik, siapa lagi kalau bukan Scha Al-Yahya.

Amboi-amboi, untung betul nasib badan Scha. Dulu masa mengacarakan Sehati Berdansa 3, dia telah digandingkan bersama Fahrin Ahmad. Sampai kontroversilah jadinya program itu. Entah apa pula yang akan terjadi dengan Kata Kau.

Kita lihat sajalah macam mana kehebatan Scha sebagai hos untuk rancangan game show ini bersama-sama pengacara dan deejay radio berpengalaman sehebat Reza.

Apapun Murai Batu mendoakan kejayaan program terbaru ini yang akan di siarkan di Astro Ria pada Jun nanti. Masih terlalu awal untuk menilai kewibawan Kata Kau sebagai satu lagi rancangan game show paling diminati.

Namun daripada desas-desus, banyak juga insiden-insiden menarik yang Murai Batu dengar akan keseronokan Kata Kau. Ada banyak pemainan baru yang diperkenalkan. Tak kurang juga ada hosnya yang tiba-tiba jadi blur. Ish ish ish....

Murai Batu difahamkan juga, kali ini bukan peserta saja yang didera. Malah Reza dan Scha turut dikenakan beberapa denda. Ada yang menyeronokan dan ada juga yang di luar jangkaan. Baling tepunglah, makan itulah, makan inilah.

Sangat menarik bunyinya. Tak sabar sungguh Murai Batu nak mengisi keriangan bersama Kata Kau.

Murai Batu: Berminat dengan perkataan Kau Ada? Mungkin boleh dijadikan salah satu tajuk program hiburan terbitan Astro. Macam mana pula Miss Propa?