Friday, June 18, 2010

Kata Kau, kuiz hiburan bersiaran di Astro

Lambakan program televisyen yang ditayangkan adakalanya memeningkan di saat ingin melakukan pemilihan terbaik. Bimbang tidak mampu mengisi masa senggang dengan kadar kepuasan di tahap maksimum.

Apa yang pasti stesen TV Astro tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka kepada penyediaan program yang boleh menghiburkan penonton di kala ia sangat memerlukan.

Dambaan kepada itu, Astro sekali lagi mencuri perhatian penonton dengan sajian program permainan berunsurkan muzik berjudul Kata Kau bagi mengisi ruang kosong anda.

Kata Kau akan memulakan siarannya melalui Astro Ria saluran 104 bermula 19 Jun ini tepat jam 10 malam dan akan terus bersiaran pada setiap Sabtu.

Program yang berdurasi lebih kurang 30 minit dengan tayangan 26 episod ini menjadi lebih hangat apabila dihoskan oleh pengacara yang terlalu sinonim dengan bidang pengacaraan program sebegini, Reza Mohamed. Mungkin tidak lengkap kalau dia bersendirian lagi seperti program Kelab Pop seperti dahulu.

Dalam program ini dia digandingkan dengan pelakon yang turut terkenal menerusi drama siri Awan Dania, Scha Al Yahya yang juga pernah menjadi hos pagi program Sehati Berdansa.

Pemilihan kedua-dua pengacara ini setelah setelah dilihatkan mereka amat sesuai digandingkan dan pertepatan dengan konsep program yang membawakan pendekatan segar dan bersahaja.

Jadi secara tidak langsung susunan program kuiz berbentuk hiburan yang ringkas ini akan menyelarasi kesesuaian untuk tontonan semua lapisan masyarakat.

Membawakan keceriaan dengan gelak ketawa anda sepanjang program ini sudah pasti menjadi fokus utama di mana pada setiap episod, sebanyak lima jenis permainan akan dimainkan secara rawak. Paling menarik apabila hukuman akan dikenakan kepada setiap kumpulan yang kalah.

Di antara cabaran-cabaran yang menanti para peserta meneka tajuk lagu melalui permainan Ringtone Rentong di mana mereka harus meneka bahagian korus lagu Rock Melayu.

Sementara itu, di segmen lain pula peserta meneka lukisan karikatur penyanyi dan pelakon tanah air melalui Siapa Pulak Ni..?

Menggamatkan lagi keadan melalui segmen Ikut Suka Kau! Yang menampilkan Salleh Yaakob yang terkenal dengan jolokan Abang Jam menyanyikan lagu Melayu versi Inggeris dan lagu Inggeris ke versi Melayu. Di sini setiap peserta diharuskan meneka akan tajuk-tajuk lagu tersebut.

Selain itu, terdapat banyak lagi permainan yang akan dimainkan secara rawak seperti Masihkah Kau Ingat?, Video Songsang Baa.., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan.

Pastinya kesemua yang dipersembahkan memaparkan 1001 kelainan bagi penonton Kata Kau.

Antara barisan artis yang akan memeriahkan program Kata Kau, Pop Shuvit, Meet Uncle Hussin, Saida, Saerah, Zed Zaidi, Adam AF, Hafiz, Mila, Tomok, Black, Fiz Fairuz, Julia Zigler, Ainul Aishah, Marsha, Anding, Dafi, Edleen, Sherry Ibrahim, Zizan dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment