Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
2010/06/20
KERJAYA penyampai radio dan pengacara TV popular, Reza atau nama sebenarnya, Syaiful Reza Mohamed, menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Menerusi program bersiaran setiap Sabtu bermula semalam, jam 10 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) itu, Reza digandingkan dengan pelakon jelita, Scha Al-Yahya sebagai hos.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Reza meluahkan rasa syukur kerana terus mendapat kepercayaan Astro mengendalikan program itu dan berharap ia mampu mencetus fenomena baru dalam penerbitan bercorak permainan.
“Kata Kau boleh dikatakan kesinambungan Kelab Pop namun berbeza lenggok permainannya apabila dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana setiap kumpulan menggabungkan dua selebriti terkenal tanah air dengan seorang pelanggan Astro yang bertuah.
“Ada 26 episod termasuk edisi khas Raya dan Merdeka, di mana setiap episod lima jenis permainan akan dimainkan secara rawak. Antara cabaran yang menanti peserta adalah meneka lagu menerusi permainan Ringtone Rentung, meneka korus lagu Rock Melayu dalam Bapak Kapak dan meneka lukisan karikatur penyanyi dan pelakon melalui Siapa Pulak Ni..? “Selain itu ada banyak lagi permainan seperti Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat?, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan.
“Uniknya Kata Kau, selain merapatkan hubungan artis dan peminat, fokus bukan saja diberi kepada peserta tetapi juga penonton di studio dan rumah. Pasti pecah perut melihat aksi peserta dan program ini boleh jadi penawar kepada tekanan,” kata Reza.
Biarpun pertama kali digandingkan dengan Scha, dia tidak sukar mencari keserasian depan kamera kerana aktres itu juga gila-gila sepertinya.
Menerusi program itu mereka bukan saja bertanggungjawab merancakkan pentas tetapi perlu mewakili kumpulan dan menerima ‘padah’ yang sama andai kalah.
“Program ini lain daripada lain. Saya dan Scha ‘berperang’ kerana masing-masing mahu pastikan pasukan diwakili menang. Mereka yang kalah akan didenda dan kami tidak tahu apa bentuk denda itu hinggalah diumumkan.
“Kelakar pula bila pengacara lebih berkobar-kobar mahu menang daripada peserta. Sepanjang 26 episod, kumpulan saya yang selalu kalah. Reda sajalah biarpun macam-macam denda saya kena.
“Perang Kata Kau berterusan biarpun rakaman sudah habis, di mana saya dan Scha akan saling kata-mengata dan ia menjadi bahan lawak di laman sosial Twitter. Seronok bekerja dengan Scha sebab dia gila-gila dan kelakar,” katanya.
Selain Kelab Pop dan Kata Kau, selebriti yang bakatnya dicungkil menerusi pentas Akademi Fantasia musim ketiga ini pernah mengendalikan pelbagai genre program seperti Diari AF7 Ext, Pilih Kasih serta 1001 Malam Perkahwinan Mawi dan Ikin.
Menjadikan Aznil Nawawi dan Zainal Alam Kadir sebagai idola, jejaka berwajah keanak-anakan ini terikat dengan program Gempak Selebriti Astro: Rocka Bola dan Gempak Desa Astro: Rocka Bola.
“Jika mahu melihat saya berlakon, datanglah ke Gempak Selebriti Astro: Rocka Bola di Batu Pahat pada 26 Jun. Saya akan beraksi sebagai pengulas sukan dalam teater muzikal Rocka Bola yang membariskan beberapa artis terkenal, termasuk Amy Search.
“Mungkin ramai tidak tahu saya minat berlakon, lebih-lebih lagi teater. Sebelum ini pun ada beberapa tawaran tetapi masa tidak mengizinkan. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dalam pementasan Rocka Bola nanti,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment