Monday, August 30, 2010

Birthday ke-32, Reza Ingin Maju Ke Depan



Teks oleh Haswari Ali


KUALA LUMPUR, 26 OGOS 2010: Meskipun ulang tahun hari lahirnya yang ke-32 hanya dapat disambut di dalam bilik konti radio tanpa mengambil sebarang cuti, namun penyampai radio popular Era FM, Reza Mohamed bersyukur kerana begitu ramai peminat yang mengingati tarikh istimewanya itu.


Daripada lama social Facebook sehinggalah ke Twitter, pelbagai ucapan tanpa henti diberikan kepada hos utama Kata Kau berkenaan sepanjang dia menikmati saat manis ulang tahun kelahirannya semalam.


Lebih manis lagi, apabila ulang tahunnya kali ini telah jatuh pada bulan Ramadan yang sekali gus telah memberikan segulung keberkatan untuk dirinya meneruskan hidup sebagai manusia di muka bumi ini.


Ditemui portal murai.com.my di sini semalam, Reza berkata dia sangat terharu dengan ucapan daripada sekalian peminatnya termasuklah 11 halaman ucapan khusus buatnya yang tertera pada laman web khas stesen radio Era FM.


"Saya bersyukur dan sangat terharu dengan pelbagai ucapan yang diberikan daripada peminat dan rakan taulan. Lebih menggembirakan lagi apabila ianya jatuh pada bulan Ramadan dan saya percaya segala ucapan yang baik akan memberikan balasan dan pengertian cukup bermakna, InsyaAllah.


"Memang saya tak berpeluang untuk bercuti untuk meraikan ulang tahun kelahiran saya ini, tapi bagi saya biarlah ianya diraikan dengan bersederhana bersama rakan terdekat dan keluarga disayangi," katanya.


Bercerita mengenai hadiah dambaannya, Reza berkata dia ada membuat kenyataan di Twitter dan Facebook supay dihadiahkan sebuah i-Pad daripada bos Era FM, Nazri Noran bagaimanapun itu hanyalah jenaka semata-mata.


Sebaliknya jelas Reza, bersempena ulang tahunnya itu, dia memegang harapan untuk lebih berdaya saing dan maju kehadapan dengan apa yang dilakukan sekarang ini.


Malah sebagai manusia biasa, dia berharap agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan lebih utama dijauhkan daripada segala kontroversi yang dapat menganggu-gugat kerjayanya sebagai penggiat seni.


"Sudah 5 tahun saya berada di dalam industri. Begitu juga perkhidmatan saya bersama Astro dan Era FM. Dalam tempoh itu juga saya telah mempunyai syarikat pengurusan saya sendiri iaitu Razeky MGT dan beberapa program TV.


"Syukur Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan saya berterima kasih kerana dipertemukan dengan pelbagai individu yang banyak membantu merealisasikan kerjaya saya." katanya terharu.


Ditanya mengenai isu kontroversi antaranya dan pelakon cantik Scha Al-Yahya yang didakwa tidak sebulu, dia menjawab bahawa memang terlalu banyak cerita kurang enak didengar serta perasaan iri hati di dalam bidang ini.


"Saya sudah biasa dikatakan bergaduh dan tidak sehaluan dengan beberapa orang artis. Sekarang ada yang mengaitkan saya dengan Scha dan sebelum ini ada yang kata saya gaduh dengan Lufia dan Stanly.


"Saya tak mahu memanjangkan cerita kerana mungkin individu yang mendapat cerita itu tidak tahu hujung pangkal hal sebenar. Apa yang penting sekarang, saya mempunyai keluarga dan rakan yang lebih mengenali siapa saya," jelas Reza.

No comments:

Post a Comment