Monday, August 30, 2010

Reza Mohamed raikan anak-anak yatim di Menara KL



Dihantar Oleh CERITERA
Oleh Penulis ERA: Syakireen Othman Foto ERA fm


Baru-baru ini, penyampai Petang ERA iaitu Syaiful Reza Mohamed telah mengadakan majlis berbuka puasa anjuran Menara Kuala Lumpur bersama Rezakey Management bagi meraikan ulang tahun ke-5 Reza bertapak di dunia seni khas untuk para media, rakan-rakan seni beliau dan juga anak-anak yatim. Reza yang bermula sebagai finalis Akademi Fantasia musim ke-3 ini berjaya mengorak langkah dalam industri hiburan dengan pengalaman beliau sebagai penyampai radio, pengacara, pelakon dan juga penyanyi. Beliau berjaya mengimbangi segala tugas dengan baik sekali dan disiplin menjadi resepi utama beliau untuk kekal lama dalam industri hiburan ini.


Majlis telah diacarakan oleh Ray dari krew Riuh Pagi ERA dan juga Zulin (finalis Pilih Kasih musim pertama) yang berjaya menghiburkan orang ramai dengan telatah mereka berdua. Kehadiran artis-artis yang turut memberikan sokongan kepada beliau adalah seperti Hazama, Nas Adila, Tilu, Yazer, Alif AF8, Farina AF8, Shah AF8, Isma AF7 dan juga adiknya Tomok. Selain dihiburkan dengan persembahan dari pelbagai artis, sumbangan berupa duit raya, beg sekolah, dan baju raya ternyata telah memberikan kegembiraan kepada 27 orang kanak-kanak yang hadir dari Rumah Lindungan Kaseh, Tampin Negeri Sembilan.


Menurut Reza, “Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang merealisasikan impian saya untuk mengadakan majlis sebegini bersama rakan-rakan artis, media dan anak-anak yatim serta keluarga yang menjadi tulang belakang saya. Saya amat menyukai kanak-kanak dan kehadiran mereka di hari dan bulan yang baik ini suatu kesempatan yang berharga untuk saya meraikan anak-anak yatim ini. Senyuman mereka ternyata menjandi pemangkin kepada semangat saya untuk lebih berjaya lagi dalam semua bidang yang saya ceburi. Saya berharap agar saya dapat bertahan lama dalam industri ini dan memberikan sumbangan yang walaupun tidak besar tetapi mampu diingati oleh semua orang.”


Kami di ERA fm sentiasa mendoakan kejayaan Reza dan kami mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan selamat ulang tahun sekali lagi kepada anak Sawarak yang peramah ini dan kami di ERA fm sentiasa menyayangi dan memberikan sokongan yang padu kepada Reza! Go Reza!


Nota Editor: Bila nak naik pelamin?

No comments:

Post a Comment