Tuesday, April 7, 2009

Articles from Berita Harian 7th April 2009 & gua.com.my 6th April 2009







Greetings to all...

Not much to write but sharing the articles about Pilih Kasih programme which Reza is hosting with Kak Engku.

Enjoy and till then, cherio.


Rosyam terbitkan Pilih Kasih -Oleh Zul Husni Abdul Hamidzhusni@bharian.com.my


Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonanPENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih. Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.
Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih. Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu. "Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.


"Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan," katanya. Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak. Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas. "Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti," katanya.
Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah. Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana. "Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini," katanya. Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa. Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini. "Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini. "Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak," katanya. Cara penyingkiran berbeza BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza. Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan. "Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat. "Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih," katanya. Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka. Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang. "RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan," katanya. Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam. Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu. Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka. Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah. Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim. INFO: Uji bakat DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
AEON Bukit Indah, Johor Bahru - 11 April
Kompleks Terminal One, Seremban - 12 April
KB Mall, Kota Bharu - 18 April
Berjaya Megamall, Kuantan - 19 April
One Borneo, Kota Kinabalu - 26 dan 26 April
Queensbay Mall, Pulau Pinang - 2 Mei
Plaza Alam Sentral, Shah Alam - 3 Mei The Spring, Kuching - 9 dan 10 Mei


Rosyam Nor 'Pilih Kasih'by gua.com.my 6 Apr 2009

Selepas terkenal sebagai pelakon, pengacara dan penerbit filem, Rosyam Nor kini melangkah setapak lagi apabila menghasilkan sebuah program realiti terbaru khusus untuk mencari wajah-wajah baru di dalam bidang lakonan berjudul ‘Pilih Kasih’.Rosyam ketika ditemui di majlis pelancaran program tersebut baru-baru ini memberitahu, idea untuk menghasilkan ‘Pilih Kasih’ muncul apabila dia mahu menghasilkan filem baru berjudul ‘Kekasih’.Di dalam filem tersebut dia mahukan pelakon baru yang benar-benar berbakat supaya ianya lebih segar dan tidak mahu penonton bosan jika terus disogokkan dengan pelakon sedia ada. Namun tidak ramai pelakon yang diinginkannya wujud dalam industri.Apatah lagi, kebanyakan program realiti yang diadakan lebih menjurus kepada mencari bakat-bakat hebat dalam bidang nyanyian. Jadi katanya sudah sampai ketikanya untuk dia melakukan sesuatu agar industri perfileman negara tidak tandus dengan pelakon pelapis yang berkualiti."Pada awalnya saya merancang untuk menerbitkan filem baru, ‘Kekasih’. Namun setelah membuat penelitian terhadap pasaran dan sambutan penonton kepada filem tempatan yang agak suram, menyebabkan saya dan pengarah, Bade Hj Azmi, berkerja keras untuk menghasilkan program realiti ini."Pemenang ‘Pilih Kasih’ akan diberi peluang untuk berlakon sebagai pelakon utama dalam filem tersebut. Dari perspektif yang lain pula, program ini pastinya akan memberi publisiti yang cukup baik untuk filem ‘Kekasih’ apabila diterbitkan kelak," katanya.Tambahnya ‘Pilih Kasih’ yang mula bersiaran di TV2 mulai 11 April selama empat bulan, akan melatih bakat-bakat yang terpilih hingga menjadi seorang pelakon yang versatil serta mampu memenuhi kriteria yang diingini dalam filem ‘Kekasih’.Berdasarkan sinopsis ‘Kekasih’, filem ini mencari lima pelakon untuk melakonkan lima watak utama. Pastinya lima peserta terbaik yang bakal kekal di dalam ‘Pilih Kasih’ merupakan satu risiko yang perlu Rosyam tanggung untuk menerbitkan ‘Kekasih’ kerana mengetengahkan pelakon baru sebagai tunjang utama."Di dalam program ini saya mahu berkongsi cerita dan pengalaman menjadi pelakon dengan penonton. Saya juga mahu memberi pendedahan kepada orang di luar sana bahawa kerjaya sebagai pelakon merupakan satu jalur pekerjaan yang baik dan memberikan impak kepada seseorang sekiranya dilakukan dengan betul dan ikhlas," katanya.Ditanya tentang kekuatan program tersebut jika dibandingkan dengan pelbagai program reality yang banyak terdapat di pasaran kini, Rosyam menegaskan kekuatan ‘Pilih Kasih’ terletak kepada barisan penerbitannya yang berpengalaman luas dalam industri pembikinan filem, drama, dokumentari dan video. Katanya elemen tersebut sangat penting untuk menerbitkan sebuah program yang berkualiti."Selain itu, peserta juga akan didedahkan dengan rutin sebenar anak seni. Ini kerana melalui program ini mereka akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri yang mana ianya merupakan tugasan mingguan yang perlu mereka lakukan."Mereka akan dibimbing oleh pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah. Peserta turut didedahkan dengan kelas lakonan teater muzikal yang akan dipimpin oleh Erma Fatima. Kesemua tugasan yang dilakukan oleh peserta ini akan diadili setiap minggu pada Malam Perdana," ujarnya panjang lebar.Beberapa pelakon ternama dan berpengalaman juga akan dijemput sebagai tenaga pengajar dalam membentuk peserta menjadi pelakon pelapis yang berkaliber serta dinamik.‘Pilih Kasih’ tetap mengekalkan format program realiti yang lain di mana paparan perjalanan aktivtiti harian pelajar akan ditayangkan menerusi jurnal harian yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang 12 minggu program tersebut ditayangkan.Manakala tayangan perdana akan memaparkan pertarungan di antara peserta dalam mengekalkan kedudukan mereka. Penonton akan menyaksikan hasil lakonan setiap peserta melalui tayangan drama bersiri 10 minit, lakonan monolog dan teater muzikal yang akan dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton selama 15 minit. Pengkritik tetap yang akan membuat penilaian peserta adalah Dr. Abu Hassan yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Malaya dan Rosyam sendiri. Setiap minggu seorang pengkritik jemputan akan dijemput."Saya mengalu-alukan semua orang yang berminat untuk hadir ke sesi uji bakat yang akan dijalankan. Malah para pekakon tambahan juga diundang kerana sebelum ini mereka tidak berpeluang untuk menunjukkan bakat sebenar mereka," katanya.Rancangan ini terbuka kepada mereka yang meminati bidang lakonan dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Siri ujibakat pula akan diadakan di Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. assalammualaikum...saya amat setuju program ini diadakan,boleh lah kembangkan industri lakonan ni..sb ramai diluar sana yang berbakat,dikampung pendalaman pun ada ramai gak yang berbakat,cuma mungkin dierang tidak berpeluang untuk menyerlah kan bakat mereka di bandar..salah satu mungkin mereka tidak berkemampuan atau pun mungkin terlalu jauh untuk sampai ke bandar..sampai jer kat bandar ujibakat pun dah habis..kesian...masalah saya plak saya nak cuba tapi saya cuma tau bermain alat muzik tradisional sabah dan menyanyi..oleh sebab tu la saya terpaksa balik sabah pertengahan bulan mei ni..sb saya pun dah tak tau nak buat apa kat sini,nak kerja lain tak pandai..sekarang ni dah menjadi penganggur dah..itulah masalah kebanyakkan orang seni ni,pemilih dan sensitif.,maafkan saya nampaknya dah jauh menyimpang,ok lah saya berharap program ni akan berjaya..'insyallah'.janji tujuan kita baik dan ingin mengembangkan lagi industri dalam bidang lakonan ni setaraf dengan negara2 di luar sana..'AMIN'ya-Rabbil-Alamin'...p/s;Biar buta mata jangan buta'Hati'.

    ReplyDelete