Bersyukur rezeki di bidang pengacaraan semakin murah
TAHUN lalu, jejak kelahiran Sibu, Sarawak ini bergandingan dengan Raja Azura mengendalikan program kebanggaan Rosyam Nor, Pilih Kasih. Tapi untuk Pilih Kasih musim kedua bersiaran 11 Disember lalu, Reza bersendirian tanpa ditemani sesiapapun berbanding musim lalu dia mengemudi program itu bersama Raja Azura.
Jangan ditanya sebab ketiadaan pengacara stesen radio nombor satu itu dalam program Pilih Kasih tahun ini kerana Reza tidak ada jawapannya, lalu meminta ditanya saja kepada pihak produksi. Apa yang lebih utama buat pemilik bernama penuh Syaiful Reza Mohamed itu ialah untuk menggalas tanggung jawab mengacarakan Pilih Kasih sebaik mungkin.
“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana masih dikekalkan untuk meneruskan mandat sebagai pengacara Pilih Kasih 2. Bagi saya tak kisahlah mengacara bersendirian atau berdua kerana masing-masing memberikan keghairahan tersendiri.
“Tapi kalau mengacara secara solo mungkin lebih banyak kerja berbanding bergandingan. Keterujaan saya juga lebih untuk musim kedua ini. Alhamdulillah rating musim pertama juga membanggakan dan harapnya yang kedua ini juga akan memberi dimensi baru untuk arena seni kita,” kata Reza yang pernah mengacarakan program Katakau dan Kelab Pop.
Selain bergelar pengacara dan bekerja di konti radio, Reza memberitahu dunia nyanyian masih tetap di hati. Sekalipun tidak berpeluang atau bermimpi menghasilkan sebuah album, si petah berbicara ini masih memenuhi undangan membuat persembahan bersama Astro dan syarikat tertentu.
Dalam perkembangan lain, nama Reza turut dikatakan antara calon yang bakal mengemudi Akademi Fantasia musim kesembilan. Bagaimanapun Reza, enggan memberi komen lanjut terhadap perkara yang belum pasti. Cuma yang boleh disahkan Reza ialah mengenai program Katakau yang bakal disambung pada tahun depan. “Mengenai AF9 itu saya ada mendengar ura-ura saja. Tapi saya sendiri belum pasti kesahihannya. Kalau betul dan ada rezeki, saya bersyukur. Lagipun, itu juga tanda saya memberi sokongan kepada program yang pernah mencungkil bakat saya,” kata Reza yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim ketiga.
Lima tahun membabitkan diri dalam dunia penyiaran di stesen radio ERA, lelaki berusia 32 tahun ini terus tegar meneruskan survivalnya. Sekalipun datang pelbagai dugaan dan kontroversi yang memalit namanya, Reza hanya mampu bersabar kerana semua itu dianggap lumrah yang perlu ditelan.
Malah hingga kini orientasi dirinya juga masih menjadi tanda tanya. Kata Reza, perkara sebegitu hanya subjektif dan tidak boleh dinilai dengan mata kasar. Sebagai manusia biasa, Reza hanya mampu menjawab persoalan yang diaju.
“Pelbagai dugaan yang saya sudah lalui. Saya hanya mampu membiarkan saja tanpa langsung menjadi kudis. Saya lebih tahu siapa diri saya. Bunyi macam klise, tapi orang di luar boleh terus menghakimi saya. Cuma saya tak nafikan persoalan orientasi diri saya itu sering mengundang teka-teki.
“Apabila orang terus bertanya mengenai perihal itu, saya akan beri jawapan yang sama. Terimalah saya seadanya. Pada satu peringkat, ia jadi menyakitkan hati. Tapi tak apalah, saya tak boleh halang orang daripada terus berkata-kata,” katanya yang mengendalikan segmen Petang ERA bersama Adi Fashla.
Profil Nama penuh: Syaiful Reza Mohamed
Nama komersial: Reza Mohamed
Tarikh lahir: 25 Ogos
Tempat lahir: Lau King Howe Hospital, Sibu, Sarawak
Zodiak: Virgo